Kontroversi penggunaan kalimah Allah Allah

Bagi umat Kristian di tanah Arab tidak ada perkataan lain untuk 'Tuhan' selain 'Allah'.[3]

Arab Kristian misalnya menggunakan istilah-istilah Allāh al-ab (الله الآب) bermakna Tuhan yang Bapa, Allāh al-ibn (الله الابن) bermakna Tuhan yang Anak, dan Allāh al-rūḥ al qudus (الله الروح القدس) bermakna Tuhan yang Roh Kudus. Lihat Tuhan dalam agama Kristian untuk konsep Tuhan Kristian. Bagaimanapun di kalangan masyarakat Kristian Arab sendiri, mereka mula mengelakkan diri daripada menggunakan "Allah" bagi merujuk tuhan dan menggantikannya dengan "Al-Ilaah" untuk Tuhan dan "Rabb" untuk "Lord".[4]

Penganut Kristian di negara barat pula menganggap tidak wajar memanggil nama Tuhan Kristian dengan nama "Allah" kerana doktrin keagamaan yang berbeza di antara orang Islam dan Kristian boleh membawa kepada kekeliruan.[5] Malah sesetengah mereka mendakwa "Allah" berasal daripada Tuhan masyarakat pagan Arab (musyrikin Arab).[6]

Terjemahan ke dalam kitab agama lain

Para penterjemah kitab Bible dan mubaligh Kristian terutama di dalam masyarakat yang majoritinya beragama Islam menggunakan perkataan "Allah" untuk merujuk kepada tuhan. Tindakan ini dipercayai untuk memudahkan penyebaran agama Kristian dan pemahaman di kalangan masyarakat tempatan.[7][8] Seterusnya memurtadkan umat Islam di dalam masyarakat tersebut.[9][10] Kes penukaran nama tuhan Kristian kepada nama-nama tuhan bahasa tempatan juga pernah berlaku apabila William Carey, seorang paderi menterjemah Bible bahasa Inggeris kepada bahasa Benggali, dengan menggunakan nama Tuhan Yang Maha Agung Hindu, Ishwar merujuk 'God'.[8][11]

Indonesia

Di Indonesia, terjemahan Kitab Bible dalam bahasa tempatan menggunakan perkataan "Allah Bapa"[12] bagi menggambarkan God the Father dan "Anak Allah" bagi Yesus[13], walaupun dalam pengucapan seharian mereka lebih gemar menggunakan perkataan "Tuhan", "Lord" atau "God".

Dalam bahasa Indonesia umum, kata "Tuhan" dipakai untuk Yang Mahakuasa, Mahaperkasa. Untuk Allah pula, Tuhan Yang Maha Esa, termasuk Kitab Perjanjian Baru kecuali petikan Perjanjian Lama. [14]

Malaysia

Di Malaysia, terdapat cubaan menggunakan perkataan "Allah" sebagai ganti kepada perkataan Bahasa Inggeris "God" di dalam kitab Bible versi bahasa Melayu. Ia masih lagi diperdebatkan. Impak jangka panjang jika ini dibenarkan adalah sangat besar dari apa yang sesetengah orang jangkakan, kerana terjemahan lain seperti the Pagan gods atau Zeus, King of the God boleh diterjemahkan sebagai allah-allah Pagan juga Zeus, Raja Segala Allah.

Pada penghujung tahun 2012, isu penggunaan nama Allah di dalam kitab Bible versi bahasa Melayu kembali timbul apabila ia dibangkitkan semula oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, sebagai mesej Krismas beliau kepada kerajaan BN.[15] Perkara ini mendapat tentangan kuat daripada beberapa NGO Islam di Malaysia.[16][17] Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM) misalnya telah menerbitkan sebuah makalah ilmiah yang menghujahkan aspek bahasa dan sejarah tentang kekeliruan dalam tuntutan penggunaan kata nama Allah untuk terjemahan Bible.[18]

Berikutan hal ini, Sultan Selangor mentitahkan bahawa penggunaan kalimah Allah khusus untuk umat Islam sahaja dan mana-mana pihak yang cuba mengingkari akan ditahan.[19] Walau bagaimanapun, kerajaan Selangor terus dengan pendirian mereka bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh bukan muslim selagi ia tidak disalah gunakan.[20]Manakala, Majlis Gereja Malaysia tetap berkeras ingin menggunakan nama "Allah" atas alasan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan iaitu " agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan".[21] Parti MCA menyokong kalimah Allah digunakan oleh orang bukan Islam dengan alasan agama lain seperti Sikh dan Hindu juga mengandungi kalimah Allah.[22] Walau bagaimanapun pendapat ini telah disanggah oleh Aidil Khalid dalam sebuah artikel yang menghujahkan bahawa kalimah Allah dalam kitab suci agama Sikh adalah merujuk kepada Allah seperti mana yang difahami oleh orang Islam, manakala tidak terdapat sebarang bukti bagi menunjukkan bahawa kalimah tersebut terkandung dalam kitab suci agama Hindu.[23] [24]

Berlaku juga konflik di dalam parti PAS apabila presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengatakan bukan Islam boleh guna kalimah Allah tetapi dengan syarat ia tidak disalahgunakan.[25][26] Dan ia disokong oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila beliau bersetuju orang bukan Islam termasuk pemimpin mereka dibenarkan menggunakan kalimah Allah walaupun perkataan itu merupakan hak eksklusif bagi orang Islam asalkan ia tidak disalahguna.[27] Namun di pihak Dewan Ulama PAS pula tidak bersetuju penggunaannya bagi bukan Islam.[28][29] Mereka berpendapat istilah terbaik untuk 'God' adalah tuhan sebagaimana ia difahami oleh penganut Kristian manakala nama Allah khusus untuk Islam. Ini bagi mengelakkan kekeliruan dan ketidaksenangan antara penganut agama Islam dan Kristian di Malaysia.[30]

Pada 14 Oktober 2013, Makhamah Rayuan Malaysia telah membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2009 yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam akhbar The Herald.[31] Hal ini mendapat pelbagai reaksi di kalangan muslim dan bukan muslim di Malaysia. Namun, rayuan oleh Kerajaan Malaysia selepas itu telah diterima oleh mahkamah.

Rujukan

WikiPedia: Allah http://www.biblebelievers.org.au/moongod.htm http://www.islam-info.ch/en/Who_is_Allah.htm http://sunni.abatasa.com/post/detail/9507/masalah-... http://www.aljazeera.com/indepth/features/2013/10/... http://www.arabbible.com/t-Allah.aspx http://www.christianitytoday.com/ct/2009/august/14... http://www.christianitytoday.com/ct/2011/february/... http://www.christianpost.com/article/20070823/is-c... http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/... http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/...